Friday 31 May 2013

Tempat Solat Yang Kotor?



Tempat Solat Yang Kotor?




Baru-baru ini saya sibuk dengan urusan kerja di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah Sarawak. Dalam perjalanan ke destinasi, saya banyak berhenti untuk merehatkan badan dan juga menunaikan solat di RnR dan juga masijid. 
 
Saya lebih seronok jika berhenti rehat di RnR kerana banyak kemudahan yang disediakan di situ seperti kedai makan, surau , tandas dan macam-macam lagi kemudahan yang lain.


Seperti yang kita ketahui kawasan RnR adalah satu kawasan yang sangat selesa kerana kebersihannya yang sangat terjaga. Saya sangat suka menggunakan tandas di RnR kerana ianya cukup selesa dan bersih. Begitu juga dengan surau yang disediakan ianya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk bersolat. 


Walau bagaimanapun tidak semua kawasan RnR yang saya kunjungi itu bersih dan selesa. Ada juga beberapa kawasan rehat yang amat mendukacitakan saya sebagai pengunjung yang ingin beristirehat. Hingga tahap kerbersihan tersebut amat MENGGELIKAN. 


Begitu juga dengan tahap kebersihan di dalam masjid dan juga surau. Masjid dan surau adalah kawasan yang perlu dijaga kebersihannya kerana ianya digunakan sepanjang waktu. 


Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tahap kebersihan surau di beberapa perhentian rehat dan juga masjid yang telah saya kunjungi. Ada beberapa masjid dan surau yang tahap kebersihannya amat membimbangkan. Bayangkan tempat untuk kita beribadah ibarat tempat yang terbiar ? Begitulah keadaan yang dapat saya gambarkan situasi sesetengah persekitaran  masjid dan surau yang terdapat di negara ini.


Bukan sahaja di kawasan perkampungan dan pedalaman, kawasan bilik air dan tempat mengambil wuduk di rumah Allah SWT juga dilihat kurang diselenggara dengan baik walaupun di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.


Lebih menyedihkan, selain mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, sisa najis, lumut serta sawang turut 'berpenghuni' dalam bilik bersuci di rumah ibadat bagi umat Islam itu.


Saya telah berkunjung di beberapa lokasi  mendapati, pelbagai masalah turut berlaku seperti; tandas tersumbat, mangkuk tandas pecah dan kotor, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah dan berlumut, siling bersawang, sinki tersumbat, sejadah yang busuk (tidak pernah dibasuh), kain pelikat dan telekung yang hapak serta kotor, lantai/ carpet yang dipenuhi dengan tahi cicak dan habuk-habuk busuk.

 


Saya merasakan ini bukan sahaja mengurangkan keselesaan jemaah dan pengguna, malah mengurangkan minat umat Islam untuk mengunjungi rumah Allah itu.
 

Rungutan mengenai tahap kebersihan masjid dan surau yang kurang memuaskan sering menjadi buah mulut di kalangan kita.


Apa yang saya sedar permasalahan yang semakin menjadi tanda tanya itu telah pun diutarakan ke peringkat atasan. Walaupun pelbagai kempen dan program dijalankan, namun masalah ini diibarat bermusim yang tidak berpenghujung.


Pasti ada sahaja yang akan mengadu mendakwa surau yang digunakan jijik dan kotor sehingga tidak sanggup untuk menggunakannya.


Perkara yang dilihat semakin kurang diambil perhatian itu dikatakan turut boleh menjejaskan identiti dan imej Islam kepada orang bukan Islam yang selama ini menganggap Islam agama yang mengutamakan kebersihan.


Sehinggakan terdapat sesetengah rumah ibadat yang sepatutnya diselenggara dan dipastikan kebersihannya tidak diuruskan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi di kawasan tandas dan bilik wuduk.


Kesimpulan mudah yang dapat dibuat terhadap sesuatu agama adalah berdasarkan rumah ibadat mereka. Ini kerana, secara umumnya segala penilaian dapat dibuat dan menggambarkan penganut agama tersebut dengan melihat rumah ibadat.


Jika kesedaran terhadap kebersihan khasnya di kawasan rumah ibadat kurang, secara tidak langsung memberi kesan negatif, sekali gus memburukkan keseluruhan imej Islam.


Ini juga dilihat menjadi penghalang serta menghilangkan kepercayaan bukan Islam yang mengetahui Islam itu menitikberatkan kebersihan bagi yang ingin memeluk Islam.


Oleh itu katanya, hadis Rasulullah SAW bermaksud; "Sesungguhnya Allah SWT itu bersih dan menyukai kebersihan", perlu diterapkan dalam jiwa setiap umat Islam, bukan sahaja diungkapkan di bibir.


Sebagai umat Islam juga seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada agama lain kerana ia merupakan salah satu langkah dalam berdakwah.

Secara umumnya fitrah manusia yang menyukai kepada kebersihan. Istimewanya bagi umat Islam adalah kebersihan telah didedahkan dengan prinsip menjaga kebersihan sejak kecil dan juga merupakan tuntutan agama.


Tetapi jika kita lihat, realiti yang berlaku orang bukan beragama Islam lebih mendahului kita dalam aspek kebersihan terutamanya bahagian tandas